Ada sahabat-sahabat yang bertanya... "saya nak join Sahabat Telekung Kuantan... macam mana saya nak start?"
Sahabat Telekung Kuantan (STK) amat mengalu-alukan kedatangan dan penyertaan sahabat-sahabat dalam jalinan ukhuwah STK. "Everyone can be our family".
Berikut di sediakan penerangan bagi membantu sahabat-sahabat yang terpanggil oleh Nya untuk melakukan kerja amal ini.. Semoga ia dapat memberi penjelasan tentang projek cuci-cuci telekung ini. Nota di bawah hanyalah 'guideline' yang disediakan oleh STK. Sahabat-sahabat bebas untuk membuat pengubahsuaian berdasarkan keperluan semasa dan setempat.
Nota :
**STK = Sahabat Telekung Kuantan
LANGKAH 1 : PERSEDIAAN KEPERLUAN
- Sediakan beberapa pasang telekung extra untuk diwakafkan. Telekung-telekung ini akan digunakan sebagai ‘TELEKUNG PROJEK’ untuk diwakafkan ketika telekung wakaf di surau-surau diambil untuk dicuci dan dirawat. ‘Telekung Projek’ perlu dilabel atau ditanda bagi memudahkan pengecaman untuk mengambilnya semula apabila telekung wakaf surau tersebut dihantar setelah dicuci dan dirawat. Jika saudari tidak dapat menyediakan telekung extra, sila maklumkan kepada STK. Untuk mendapatkan label STK yang diberi secara percuma, boleh sms / whatsapp admin Shera di 0139937234
- Sediakan nota pemakluman supaya pengguna surau maklum bahawa telekung wakaf di situ telah diambil dan akan dihantar semula setelah dicuci dan dirawat.
- Sediakan juga poster-poster untuk menggalakkan pengguna menjaga kebersihan telekung dan surau. Hubungi (Private message) STK untuk mendapatkan poster jika saudari berada di sekitar Kuantan.
- Sediakan poster untuk memohon sumbangan telekung. Tuliskan nama saudari, no telefon dan alamat (jika perlu) pada poster tersebut
Ada banyak maklumat lain dan contoh poster boleh didapati di dalam NOTES page STK seperti di link berikut
LANGKAH 2 : MENGENALPASTI SURAU UNTUK MULAKAN PROJEK
- Rujuk REKOD BULANAN di page STK bahagian NOTES untuk mendapatkan maklumat senarai surau yang telah dibantu pengurusannya oleh wakil STK. Saudari boleh turut serta membantu surau yang telah ada wakil atau mengenalpasti surau yang belum ada wakil STK.
- Lakukan lawatan pertama untuk membuat pemerhatian keperluan penambahbaikan seperti telekung, sejadah, cermin, rak penyidai, rak kasut, alas kaki dsb.
- Minta kebenaran atau maklumkan kepada pihak pengurusan tempat projek tersebut.
- Ambil tindakan (sekadar yang terbaik dan termampu) untuk melakukan penambahbaikan yang dicadangkan. Maklumkan STK jika memerlukan bantuan keperluan/dana dan STK akan cuba membantu jika dana sedia ada mencukupi. STK akan bantu untuk surau sekitar Kuantan.
- Lakukan lawatan seterusnya untuk melaksanakan tindakan yang telah dirancang.
LANGKAH 3 : PRIVATE MESSAGE TO STK
STK amat menghargai kerjasama sahabat-sahabat untuk membaca nota yang telah disediakan ini. Diharap ia dapat membantu memberi penjelasan tentang projek yang ingin dimulakan. Setelah membaca dan membuat sedikit perancangan, sila private message STK untuk maklumkan :
- Nama saudari, No telefon dan email untuk dihubungi
- Surau yang teleh dipilih untuk dijalankan projek
- Keperluan:
- kuantiti telekung & label
- peralatan lain : sejadah, cermin, rak penyidai, rak kasut, alas kaki dsb.
- kod poster untuk cetakan & laminate
LANGKAH 4 : MULA BERKHIDMAT PADA TELEKUNG WAKAF
- Bawa ‘Telekung Projek’ ke surau yang ingin dibantu.
- Tinggalkan ‘Telekung Projek’ di surau tersebut.
- Kumpulkan telekung wakaf yang kotor dan bawa balik untuk dibasuh/dijahit jika rosak.
- Pulangkan kembali telekung wakaf yang telah dibersihkan ke surau tersebut. Ambil semula ‘Telekung Projek’ untuk dicuci.
- Ulang.
LANGKAH 5 : KEMASKINI (UPDATE) AKTIVITI DI PAGE STK
Setiap wakil STK diharap dapat update aktiviti yang dijalankan di surau masing-masing untuk pemakluman pengunjung page STK. Ini dapat menggalakkan lagi sumbangan dan penyertaan sahabat-sahabat yang lain. Selain daripada itu, ia juga dapat memudahkan STK untuk mengenalpasti surau yang memerlukan bantuan jika wakil STK ada urusan lain yang lebih memerlukan.
Setelah surau tersebut dibantu pengurusan telekungnya dan poster-poster STK telah ditampal, STK amat-amat mengharapkan komitmen dari wakil/kumpulan untuk menguruskannya dengan baik. Jika ada sebarang masalah dan tidak dapat memberikan komitmen, sila maklumkan pada STK untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
Sama-sama lah kita menjaga nama baik STK. Usah kita di kata "bagai melepaskan batuk di tangga..." =)
________________________________________________________________________________
MAKLUMAT TAMBAHAN
Saudari boleh merujuk maklumat-maklumat di link di dalam NOTES page STK seperti di link berikut -----> http://www.facebook.com/TelekungProjectKuantan/notes
Video yang disediakan oleh Pn Azila (The Telekung Project) juga mungkin boleh membantu. Link video adalah seperti berikut -----> http://www.facebook.com/photo.php?v=121249308049733&set=vb.528938560456094&type=3&theater
________________________________________________________________________________
SOALAN-SOALAN LAZIM
SOALAN: Perlukah saya memaklumkan kepada pihak pengurusan surau sebelum memulakan projek ini di mana-mana surau?
JAWAPAN: Sebaik-baiknya maklumkan kepada pengurusan surau mengenai projek yang akan di jalankan supaya mereka tidak terkejut bila melihat poster yang ditampal dan telekung baru yang diletakkan. InsyaAllah biasanya pihak pengurusan surau bersedia menerima kehadiran projek ini dan amat berbesar hati kerana ada pihak yang membantu mereka menguruskan telekung wakaf.
SOALAN: Adakah setiap surau hanya boleh diwakili oleh seorang wakil STK sahaja?
JAWAPAN: TIDAK SEMESTINYA. Wakil STK yang namanya diletakkan di dalam senarai surau Facebook STK hanya bertindak sebagai PEMUDAHCARA. STK amat menggalakkan kerja secara berkumpulan. Wakil STK akan membantu menjaga kebersihan telekung wakaf di surau tersebut. Dengan adanya wakil STK yang bertindak sebagai pemudahcara, insyaAllah, kerja-kerja yang dilakukan akan lebih tersusun dan mengagihan tugas akan menjadi lebih mudah.
Walaubagaimanapun, STK amat berbesar hati dan mengalu-alukan bantuan sahabat-sahabat lain selain dari wakil STK dan kumpulannya untuk turut serta pada bila-bila masa terutamanya apabila wakil STK tidak berkelapangan untuk ke surau tersebut.
SOALAN: Berapa kerapkan saya perlu menukar telekung di surau yang ingin saya jaga secara konsisten?
JAWAPAN: Kekerapan penukaran telekung adalah berdasarkan kepada tahap penggunaan telekung di surau tersebut. Surau yang ramai pengguna biasanya cepat kotor dan mungkin perlu ditukar setiap minggu. Dan kekerapan penukaran telekung juga bergantung kepada kelapangan masing-masing dalam menjalankan kerja amal ini. InsyaAllah, semoga Allah permudahkan.
SOALAN: Berapa banyak 'Telekung Projek' yang perlu diletakkan di surau semasa telekung wakaf di ambil untuk dicuci?
JAWAPAN: Ia bergantung kepada saiz surau yang ingin dijalankan projek. Bagi memudahkan perkiraan, letakkan 'Telekung Projek' dalam kuantiti sama seperti yang diambil untuk dicuci. Jika 'Telekung Projek' tidak mencukupi, anggarkan bilangan berdasarkan bilangan jemaah yang mungkin menggunakan telekung wakaf dalam satu masa. Kebiasaannya, untuk surau kecil seperti surau Petronas, kuantitinya 3-5 pasang. Untuk surau di tempat membeli-belah, anggaran 10-15 pasang.
SOALAN: Perlukah saya memaklumkan pada STK jika saya ingin membantu sekali sekala ataupun secara konsisten?
JAWAPAN: Tidak semestinya tetapi STK amat berbesar hati jika saudari dapat maklumkan pada kami. Dengan itu, pihak STK akan maklum bahawa ada wakil yang telah menjalankan projek di surau tersebut. Ini bagi memudahkan penyelarasan untuk kemudahan bersama. STK juga amat menggalakkan pemakluman status surau dari masa ke masa untuk dimasukkan ke dalam FB page Sahabat Telekung Kuantan.
SOALAN: Bagaimana jika saya tidak dapat memberi komitmen pada satu surau secara tetap tetapi ingin berkhidmat di mana-mana surau yang saya singgah?
JAWAPAN: Sediakan beberapa helai telekung wakaf. Letakkan telekung tersebut di surau yang disinggahi. Dengan jumlah bilangan yang sama, ambil telekung wakaf kotor di surau tersebut. Bawa balik telekung kotor untuk dicuci dan dijahit (jika rosak). Tukarkan telekung bersih ini dengan telekung kotor di surau yang sama atau surau lain yang disinggahi.
SOALAN: Apakah status telekung wakaf? Bolehkah telekung wakaf di surau A dipindah-pindah ke surau-surau yg lain?
JAWAPAN: (Penjelasan yg diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus (UAI) tentang kain/telekung wakaf di surau-surau)
UAI bagi contoh kain pelekat. Bila orang guna kain pelekat wakaf di surau A, pahala pun mengalir kat penderma kain tu. Pak imam surau A nampak ramai musafir selalu singgah kat surau B, jadi pak imam pun amik beberapa kain surau A utk dibawa ke surau B supaya kebaikan dan pahala yg boleh diperolehi lebih banyak dan berganda. Mungkin di surau A, jemaahnya kurang. Hukumnya HARUS bila kita pindahkan kain/telekung ke surau lain utk digunakan oleh lebih ramai org dan kita pun dapat lebih banyak pahala.
SOALAN: Mengapa 'Telekung Projek' perlu dijahit dengan label?
JAWAPAN: Label tersebut adalah makluman kepada orang ramai yang ia adalah telekung wakaf. Label tersebut BUKAN bermaksud barang tersebut milik Sahabat Telekung Kuantan. Semua harta wakaf adalah hak bersama. Ia juga bertujuan untuk memudahkan pengecaman untuk tujuan mencuci.
SOALAN: Label perlu dijahit pada 'Telekung Projek' sahaja atau pada semua telekung di surau tersebut?
JAWAPAN: Pada asasnya, label perlu dijahit pada 'Telekung Projek' sahaja dengan tujuan memudahkan pengecaman semasa mengambilnya setelah telekung wakaf surau dihantar setelah dicuci. Namun, ada wakil STK yang menjahit label pada semua telekung termasuk telekung wakaf di surau kerana label tersebut bermaksud ia adalah telekung wakaf yang dibantu cuciannya oleh STK. Oleh itu, bergantung kepada pandangan masing-masing untuk menjahit label tersebut.
SOALAN: Adakah Telekung wakaf perlu dicuci sendiri atau di hantar ke dobi?
JAWAPAN: Kebanyakan wakil STK mencuci sendiri telekung wakaf di rumah. Jika memerlukan dana untuk membeli keperluan mencuci seperti sabun, clorox, pewangi fabrik, nila dll, sila maklumkan kepada STK. STK juga mempunyai beberapa RAKAN DOBI dan RAKAN SABUN yang bersedia memberikan tawaran istimewa buat STK. Rujuk photo album dalam page STK. Kunjungi kedai mereka dan maklumkan tentang STK. In Shaa Allah, harga istimewa akan diberikan.
No comments:
Post a Comment